
Beliau berkata, ini kerana tiada perundangan atau kerangka dasar yang mengawal selia operasi pengendali e-sukan.
“Dua kategori risiko rasuah iaitu kejohanan e-sukan yang kompetitif dan tidak terkawal dan penipuan data digital sukan seperti manipulasi keputusan perlawanan melalui pelbagai platform e-sukan,” katanya semasa berucap dalam Persidangan “Governans, Integriti, dan Antirasuah” Kali Ke-2 Tahun 2023 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA.
Dalam pada itu, Azam dalam sidang medianya berkata walaupun tidak menerima sebarang kes di negara ini, namun SPRM sudah mula memantau perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya juga telah melakukan libat urus dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan persatuan sukan tempatan.
“Saya tak nak sebutkan persatuan sukan mana. Kita kena sedia dan jangan tunggu sudah berlaku baru nak ambil tindakan,” katanya.
Tambah Azam, landskap industri sukan menjadi lebih mencabar apabila sukan elektronik atau e-sukan menjadi perhatian kerana potensi dan nilai komersial tinggi yang mampu dijana sektor itu.