
Naib presiden Umno itu berkata penyertaan parti itu dalam kerajaan dipimpin Anwar Ibrahim membolehkannya terus melaksanakan dasar dan agenda orang Melayu serta Bumiputera.
Merujuk PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Khaled berkata kini di kawasan itu Umno pula membantu rakan dalam kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) yang telah mengangkatnya selepas jatuh dan kalah.
“Kita ini manusia berbudi. Ingatlah bahawa parti-parti kerajaan perpaduan inilah yang berkawan dengan kita dan menjadikan kita sebahagian daripada kerajaan,” katanya menurut Utusan Malaysia pada majlis bersama veteran Umno Bakri, Muar malam tadi.
Pada PRU15, Barisan Nasional menang 30 kerusi sahaja menjadikannya prestasi terburuk dalam sejarah penyertaan gabungan itu dalam PRU. Umno sekadar menang 26 kerusi, manakala baki empat kerusi disumbang MCA (2), MIC (1), dan PBRS (1).
Dalam pada itu, Khaled yang juga menteri pendidikan tinggi berpandangan pertuduhan mahkamah dihadapi Presiden Umno Zahid Hamidi sebelum ini hanyalah penganiayaan untuk melemahkan Umno dengan menghilangkan keyakinan akar umbi.
“Pada ketika itu memang mereka hendak menganiaya kita kerana mereka percaya bahawa sekiranya presiden Umno lemah, Umno secara sendirinya akan menjadi lemah,” katanya.
Beliau berkata, Zahid tidak akan dipersoal tindakannya jika tidak dituduh di mahkamah.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas Zahid tanpa membebaskan beliau daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid pada peringkat itu.
Ini bermakna, pihak pendakwaan boleh meneruskan kes ini, atau mengemukakan kes terhadap Zahid pada bila-bila masa nanti berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes itu.