
Peguam Rahmat Mohamed Hazlan, yang mewakili ketiga-tiga mereka berkata hakim Mahkamah Tinggi mendapati pihak pendakwaan yang bergantung kepada teori “yang dilihat kali terakhir” adalah semata-mata berdasarkan andaian yang tidak menjadi bukti.
“Teori pendakwaan adalah kerana tertuduh adalah orang terakhir yang dilihat bersama si mati, tanggungjawab kemudian beralih kepada mereka untuk memberikan penjelasan bagi menangkis sebarang petunjuk bahawa mereka bertanggungjawab melakukan jenayah yang didakwa terhadap mereka,” katanya.
Menurut Rahmat, tertuduh telah memberikan pembelaan yang konsisten walaupun kenyataan mereka direkodkan berkali-kali, dengan keterangan kedua-dua remaja bawah umur itu diambil secara berasingan tanpa kehadiran orang dewasa.
“Mengenai persoalan bila kali terakhir Samirah melihat Nazrin hidup, beliau menyatakan kali terakhir melihatnya pada 9.30 pagi pada 14 Jun 2018 untuk membawa anak kecil dan bayinya ke tingkat bawah serta menutup pintu tanpa menguncinya.
“Sebelum itu, beliau melihatnya (Nazrin) pada 8.15 pagi, sebelum mengejutkan seorang daripada anaknya untuk latihan memanah. Beliau juga melihatnya (Nazrin) pada 6.15 pagi, selepas bersahur pada 5.25 pagi. Ini terdapat dalam kenyataannya yang direkodkan tiga hari selepas kejadian, pada 17 Jun 2018,” katanya sambil menambah kenyataan kedua-dua remaja itu konsisten dengan Samirah.
Rahmat turut berhujah teori kali terakhir dilihat itu harus diguna pakai dengan mengambil kira kes pendakwaan secara menyeluruh.
“Justeru, mahkamah bukan sahaja perlu mempertimbangkan fakta kali terakhir dilihat, tetapi juga perlu mengambil kira keadaan yang mendahului dan mengikuti dari sudut si mati dilihat kali terakhir di hadapan tertuduh,” katanya.
Peguam itu berhujah bahawa mahkamah perlu mengambil kira sifat hubungan antara tertuduh dan si mati.
“Sekiranya terdapat bukti hubungan baik, bukti kali terakhir dilihat akan kekal sebagai syak wasangka dan tidak selamat untuk disabitkan kesalahan semata-mata atas bukti tunggal itu,” tambahnya.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim berhujah bahawa Samirah dan dua remaja itu bertanggungjawab atas kematian Nazrin memandangkan mereka adalah orang terakhir dilihat bersama Nazrin.
Panel tiga hakim diketuai Vazeer Alam Mydin Meera, bersidang bersama Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azhahari Kamal Ramli, menetapkan 19 September untuk meneruskan pendengaran hujahan itu.
Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Samirah, 48, yang merupakan balu Nazrin dan dua remaja yang kini berusia 21 dan 18 tahun, daripada tuduhan membunuh Nazrin.
Mahkamah melepas dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Samirah dan dua remaja itu, serta seorang wanita warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45 tahun ketika kejadian, di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018, dan 4 pagi hari berikutnya.
Pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Samirah dan remaja itu atas pertuduhan membunuh.
Sementara itu, pada 30 Jun 2022, Samirah dan remaja itu memfailkan rayuan untuk mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi, termasuk penemuan kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin ‘dilakukan secara sengaja’.