Portal Fraud Kebangsaan dijangka siap tahun depan, kata BNM

Portal Fraud Kebangsaan dijangka siap tahun depan, kata BNM

Portal itu bertujuan mengautomasi dan meningkatkan keupayaan pengesanan jejak dana terbabit selain mengenal pasti individu atau kelompok keldai akaun.

Bank Negara bekerjasama dengan industri kewangan bagi menambah baik Pusat Respons Scam Kebangsaan dengan pengautomasian proses mengesan pergerakan dana dicuri.
PETALING JAYA:
Bank Negara (BNM) sedang bekerjasama erat dengan pihak Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan industri kewangan bagi mewujudkan Portal Fraud Kebangsaan yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan.

Timbalan Gabenor BNM, Marzunisham Omar, berkata portal tersebut bertujuan mengautomasikan dan meningkatkan keupayaan pengesanan jejak dana terbabit selain mengenal pasti kalangan individu atau kelompok keldai akaun.

“BNM sedang bekerjasama dengan industri kewangan serta PayNet bagi menambah baik Pusat Respons Scam Kebangsaan dengan pengautomasian proses mengesan dan menjejak pergerakan dana yang dicuri daripada mangsa scam (penipuan) kewangan.

“Kita berharap langkah ini dapat meningkatkan lagi usaha untuk menjejak dan membekukan dana serta melindungi mangsa daripada mengalami kerugian,” katanya menurut Bernama selepas program bengkel media dan perbincangan panel mengenai penipuan kewangan di Lanai Kijang BNM.

Mengulas lanjut, Marzunisham juga menyifatkan perkembangan pesat teknologi tidak hanya memberi banyak manfaat kepada industri kewangan serta pengguna, tetapi turut meningkatkan penipuan yang dijana atau berteraskan kecerdasan buatan (AI).

“Ini adalah sesuatu yang perlu kita bendung dan lindungi. Kita juga tidak mahu memandang remeh kemampuan penipu ini yang menggunakan pelbagai kaedah untuk memperdayakan orang ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.