Pengasuh disyaki dera budak ditahan

Pengasuh disyaki dera budak ditahan

Polis mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan andaian boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran serta mengganggu ketenteraman awam.

Wanita berusia 28 tahun itu ditahan polis pada 1 tengah hari semalam. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang pengasuh ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata dua klip video menunjukkan wanita itu mencederakan kanak-kanak perempuan dua tahun tular di Facebook.

Katanya, bapa mangsa membuat laporan polis pada 11.28 pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat, pada 1 tengah hari semalam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D11) IPK Kuala Lumpur membuat tangkapan ke atas suspek berusia 28 tahun.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan andaian boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran serta mengganggu ketenteraman awam.

Jika ada maklumat berhubung kejadian itu, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras 03 9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03 2115 9999 atau balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.