
Adun Kijal itu berkata Amirudin tidak sepatutnya menyalahkan pengundi memandangkan landskap politik semasa sudah jauh berbeza berbanding sebelum ini.
“Jangan pula seolah-olah mencemuh atau mencari jalan untuk salahkan pengundi disebabkan peratusan jumlah pengundi rendah, seperti mana ada yang memberi contoh negeri Selangor yang terkena tempias itu,” katanya di Facebook.
Baru-baru ini, Amirudin dalam kempen PRK Pulai di Bukit Indah, Johor Bahru berkata pengundi di parlimen itu diharap mengambil pengajaran situasi di Selangor apabila PH hilang majoriti dua pertiga susulan peratusan mengundi tidak tinggi.
Naib presiden PKR itu berkata, ramai berpandangan Selangor “pasti menang” menjadikan keyakinan itu penyumbang ramai tidak keluar mengundi, namun akhirnya gabungan PH-Barisan Nasional (BN) hanya menang 34 DUN manakala 22 dimenangi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Selangor merekodkan peratusan keluar mengundi 71% yang dikatakan menyumbang kekalahan tipis gabungan PH-Barisan Nasional di empat kerusi – Dengkil, Taman Medan, Gombak Setia, dan Sungai Kandis.
Razali menambah peluang sangat terbuka kepada mana-mana calon untuk memenangi sesuatu pilihan raya berdasarkan sentimen semasa.
“Yang membezakan suasana politik adalah isu semasa yang mempengaruhi sentimen pengundi untuk memilih dengan tepat dan betul.”