Alasan kukuh, peguam negara perjelas DNAA Zahid

Alasan kukuh, peguam negara perjelas DNAA Zahid

Jabatan Peguam Negara memaklumkan hakim yang membuat keputusan itu sudah menyatakan alasan dikemuka pihak pendakwaan adalah kukuh.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
PETALING JAYA:
Permohonan Jabatan Peguam Negara melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima mahkamah.

Jabatan itu memaklumkan Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang membuat keputusan berkenaan sudah menyatakan alasan dikemuka pihak pendakwaan adalah kukuh.

“Merujuk kepada laporan media bahawa tindakan peguam negara untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Zahid sebagai tidak bermoral, jabatan ini ingin menegaskan bahawa permohonan untuk melepas tanpa membebaskan dibuat kepada mahkamah berdasarkan kepada alasan-alasan yang dikemukakan dan telah pun diterima oleh mahkamah.

“Semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent),” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Keputusan itu menimbulkan kritikan pelbagai pihak yang mahu penjelasan terperinci diberikan peguam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.