Zahid mangsa ‘pendakwaan politik’ Dr M, kata Asyraf

Zahid mangsa ‘pendakwaan politik’ Dr M, kata Asyraf

Setiausaha agung Umno berkata jelas terlihat 'kerakusan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad' yang sanggup menganiaya pemimpin Umno untuk menghancurkan parti itu.

Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Presiden Umno Zahid Hamidi menjadi mangsa ‘pendakwaan politik’ oleh Dr Mahathir Mohamad selepas PRU14.
PETALING JAYA:
Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini membuktikan Zahid Hamidi menjadi mangsa pendakwaan politik oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad selepas PRU14, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata, kezaliman terhadap presiden Umno itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Mahathir, selaku pengerusi Bersatu ketika itu, mengancamnya supaya membubarkan Umno.

“Ini diperkukuh lagi dengan pendedahan berani dan berbaur angkuh bekas peguam negara (Tommy Thomas) lantikan Mahathir dalam buku memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang dengan jelas memperakui terlibat langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu-individu politik berpengaruh bersama perdana menteri ke-7 waktu itu,” katanya dalam kenyataan.

Asyraf berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid atas kesemua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Zahid sebelum ini diarah membela diri atas 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 berhubung pengubahan wang haram.

Dia dituduh melakukan pengubahan wang membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Dalam pada itu, seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii yakin bahawa Zahid akan dibebaskan sepenuhnya daripada semua 47 tuduhan itu

Beliau berkata, kes itu telah banyak menjejaskan Zahid dan ahli Umno, mendakwa ia hanya bertujuan untuk mencemarkan nama baik Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Saya percaya Zahid akan mendapat pembebasan penuh dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad pula berkata, perkara ini tidak akan menjejaskan kempen PRK Pulai dan Simpang Jeram.

“Kempen pilihan raya akan dibuat seperti biasa, dan InsyaAllah, jentera Umno akan bekerja kuat untuk membantu memenangkan calon.

“Pembebasan Zahid melonjakkan lagi semangat jentera parti untuk bekerja lebih kuat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.