Wujudkan pusat sehenti bantu gelandangan, kerajaan digesa

Wujudkan pusat sehenti bantu gelandangan, kerajaan digesa

Dengan adanya pusat sehenti, bantuan boleh diberikan untuk gelandangan dalam masa sehari atau beberapa jam, kata seorang aktivis.

Aktivis Tony Lian berkata, gelandangan yang mengalami masalah mental sering dibenarkan keluar hospital dalam tempoh sehari jika keadaan mereka tidak dianggap serius. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan amal di Kuala Lumpur menggesa kerajaan agar menubuhkan pusat sehenti untuk NGO meminta maklumat tentang membantu golongan gelandangan, terutamanya mereka yang dianiaya atau mengalami masalah mental.

Pengasas Food4U Tony Lian memberitahu, dalam banyak kes beliau diminta merujuk seorang demi seorang pegawai di jabatan kebajikan apabila cuba mendapatkan bantuan bagi pihak gelandangan.

“Saya tercari-cari pegawai yang boleh bantu saya. Apabila sampai kepada pegawai yang betul, saya sudah letih.

“Jika ada pusat sehenti, bantuan boleh diberikan dalam masa sehari atau beberapa jam,” kata Lian kepada FMT.

Lian, yang juga dikenali sebagai Uncle Tony berkata, pusat sehenti akan memberikan manfaat terutamanya kepada mereka yang mengalami masalah mental.

“Kita boleh letak gelandangan di rumah perlindungan dan penagih di pusat kaunseling atau pemulihan. Kita boleh hantar mereka yang kurang upaya ke rumah untuk golongan tersebut, tetapi mereka yang mempunyai masalah mental, sukar untuk kita bantu,” katanya.

Lian berkata, apabila beliau cuba memasukkan seorang gelandangan yang mengalami masalah mental ke hospital sebagai pesakit, individu tersebut pasti akan dilepaskan pada penghujung hari, meletakkan mereka di jalanan semula.

Katanya, doktor memberitahunya bahawa wad psikiatri di hospital mempunyai kemudahan terhad untuk menampung pesakit, jadi jika ia bukan kes “serius”, mereka akhirnya akan dibenarkan keluar.

Lian berkata, menghantar gelandangan bermasalah mental ke kemudahan psikiatri khusus bukanlah satu pilihan kerana proses kemasukan akan mengambil masa terlalu lama.

“Tidak banyak NGO yang mahu mengendalikannya, hanya kerana ia terlalu membebankan dan prosedur yang terlibat mengambil masa terlalu lama,” katanya.

Perlindungan sementara

Lian, 73, kini bekerjasama dengan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) untuk membuka pusat krisis di Petaling Jaya.

Pusat krisis itu menyediakan tempat perlindungan sementara dan rawatan perubatan “sementara kami mencari pekerjaan dan penempatan (kekal) untuk mereka, serta sokongan yang mereka perlukan,” kata Presiden Miasa Anita Abu Bakar.

Anita berkata, kebanyakan pusat perlindungan enggan menerima individu yang mengalami masalah mental kerana kekurangan sumber dan bimbang mereka mungkin membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Beliau menggesa kerajaan memberikan keutamaan kepada program kesihatan mental bertujuan membantu golongan gelandangan.

Food4U menyediakan makanan yang dimasak dan barangan runcit kepada golongan miskin dan memerlukan pada Isnin, Selasa, Khamis, Jumaat dan Sabtu. Untuk maklumat lanjut, hubungi Tony Lian di talian 017-8812666.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.