PM: Kerajaan benarkan ambil tukang gunting rambut pekerja asing

PM: Kerajaan benarkan ambil tukang gunting rambut pekerja asing

Anwar Ibrahim turut mengumumkan kebenaran untuk menggajikan pekerja tekstil dan tukang emas di kalangan warga asing.

Pada 2009, kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing untuk sektor gunting rambut serta beberapa perniagaan lain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan membenarkan semula pengambilan pekerja asing di tiga sektor perniagaan iaitu gunting rambut, tekstil dan tukang emas yang dibekukan sejak 14 tahun lalu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kelulusan hanya membabitkan sebahagian daripada 15,000 permohonan diterima kerana pada masa sama mahu rakyat tempatan diberi keutamaan.

“Saya minta nanti dalam mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat ini… menteri (Menteri Sumber Manusia V Sivakumar) akan bawa kertas supaya kita lulus sebahagian untuk tiga kategori ini,” katanya merasmikan program Lestari Niaga di Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan.

Pada 14 Mac lalu, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, N Gobalakrishnan, berkata kira-kira 10,000 perniagaan India dalam tiga sektor mungkin terpaksa ditutup kerana PLKS untuk baki pekerja asingnya akan ditamatkan secara berperingkat.

Tiga sektor itu ialah tukang emas, tekstil dan tukang gunting rambut kekurangan pekerja sejak pembekuan pada 2009.

Anwar berkata bagi meningkatkan jumlah pekerja dalam semua sektor termasuk tiga terbabit, kerajaan akan memberi latihan melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)

“Syaratnya, kementerian (Kementerian Sumber Manusia) perlu memberi latihan dan insentif untuk pastikan anak-anak kita dilatih,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata lesen yang diberi kepada rakyat negara ini mesti digunakan orang tempatan.

Katanya, jika didapati lesen itu diserahkan kepada orang asing, kerajaan akan batalkan lesen yang diberikan itu.

“Kita akan serah kepada orang lain (warga tempatan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.