Lelaki direman seminggu bantu siasatan kematian penjawat awam

Lelaki direman seminggu bantu siasatan kematian penjawat awam

Kejadian dilaporkan berlaku semalam di Jalan Lama Pasir Putih-Machang, di hadapan Hospital Machang, Kelantan.

Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 10 Sept dikeluarkan terhadap suspek berusia 46 tahun di Mahkamah Majistret Tanah Merah.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang penjawat awam dalam satu kejadian pergaduhan semalam.

Sinar Harian melaporkan, perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 10 Sept dikeluarkan terhadap suspek berusia 46 tahun itu oleh Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret Tanah Merah.

Semalam dilaporkan bahawa lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pergaduhan yang mengakibatkan kematian seorang mangsa berusia 51 tahun di Jalan Lama Pasir Putih-Machang, di hadapan Hospital Machang.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun dipetik sebagai berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kerana suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, manakala mangsa dan isteri suspek penjawat awam di sebuah jabatan yang sama di Kuala Krai, katanya.

Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dan pendarahan serius di bahagian muka, selain parah di kedua-dua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.