
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, juga mendakwa kerajaan perpaduan merancang menambah kawasan pilihan raya Parlimen kepada 300 kerusi, berbanding 222 ketika ini.
Katanya, persempadanan semula hanya dapat dilakukan sekiranya mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.
“Jika kerajaan perpaduan cukup majoriti sudah tentulah itu akan dilakukan namun kita pengundi kena fikir kesan dan impak persempadanan semula yang cukup besar ini.
“Sudah tentu kawasan di bandar yang dikuasai terutama DAP akan bertambah berganda namun apa akan jadi kepada kita nanti,” katanya menurut Berita Harian dalam ceramah di Kempas, Johor Bahru malam tadi.
Muhyiddin, yang juga bekas perdana menteri, berkata penting bagi pengundi Pulai menyekat langkah pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung persempadanan itu dengan memenangkan calon PN, Zulkifli Jaafar, pada 9 Sept.
Katanya, berkemungkinan kawasan pilihan raya terlibat di bandar yang mana terdapat kepadatan penduduk.
“Kita jangkakan persempadanan semula atau kita sebut ‘gerrymandering’ ini akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun dalam penggal ini. Namun, ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa ada kelulusan Parlimen yang memerlukan undi dua pertiga untuk memastikan pindaan itu dapat dibuat,” katanya.
Presiden Bersatu juga mendakwa negeri dikuasai PN mungkin menyaksikan kawasan pilihan raya baharu tidak bertambah banyak.
“Dia hanya ambil orang-orang yang sokong, dan ditambah kerusi-kerusi baharu bagi menjamin kemenangan mereka dalam pilihan raya. Kalau ikutkan keadaan sekarang ini majoriti kawasan bandar akan dilakukan persempadanan semula manakala untuk Kedah, Kelantan, Terengganu, dan negeri di utara mungkin tidak ditambah banyak,” katanya.