Krisis tebusan 48 tahun lalu kekal jadi mimpi ngeri

Krisis tebusan 48 tahun lalu kekal jadi mimpi ngeri

Kehidupan Sukdave Singh berubah sekelip mata selepas ditembak kumpulan militan JRA ketika krisis tebusan di bangunan AIA di Kuala Lumpur pada 1975.

Sukdave Singh kini tidak mampu keluar rumah disebabkan masalah kesihatan.
KUALA LUMPUR:
Walaupun 48 tahun berlalu selepas ditembak kumpulan militan, Tentera Merah Jepun (JRA), dalam krisis tebusan pertama di Malaysia, bekas pengawal keselamatan Sukdave Singh terus hidup dalam mimpi ngeri itu.

“Segala yang terjadi masih saya rasai,” kata Sukdave, 77, yang bergenang air matanya apabila mengenang kejadian di bangunan AIA di sini pada 4 Ogos 1975.

Sukdave yang ketika itu berusia 29 tahun hilang penglihatan di mata kanan kerana ditembak militan JRA yang menawan tebusan di bangunan itu bagi mendesak pembebasan komrad mereka yang dipenjarakan di Jepun.

Ketika kejadian, Sukdave pergi ke bangunan AIA untuk mengambil cuti sakit, namun kemudian menyiasat sesuatu yang kelihatan seperti rompakan di tingkat sembilan. Beliau menjenguk keluar lif untuk meninjau penceroboh, namun ditembak di mata. Peluru itu kemudian ditemui tertanam di dinding lif.

“Rompakan” berkenaan sebenarnya adalah krisis tebusan yang pertama berlaku di Malaysia, yang ketika itu juga sedang memerangi Parti Komunis Malaya.

Kecederaan pada matanya mengakibatkan rahangnya terjejas. Selain itu, beliau juga sering pening, pitam, dan mengalami komplikasi lain sehingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan.

Sukdave mencecah usia 77 tahun pada 30 Ogos, hari yang dilaluinya seperti biasa di samping keluarga tercinta. Tahap kesihatannya makin merosot menyebabkan beliau sukar menjalani aktiviti harian dengan hidupnya menitikberatkan nilai hubungan peribadi dan kerohanian.

Beliau jarang keluar dari rumahnya di Taman Sri Ampang kerana lemah di kedua-dua belah kaki, ditambah pula dengan kesakitan di pinggang dan penyakit lain.

Sebelum ini, beliau aktif berjalan di sekitar kawasan perumahannya, menunggang motosikal, dan memasak di Gurdwara Sahib Ampang, Ulu Klang, sebagai khidmat masyarakat.

Sukdave berkata, beliau hanya berada di rumah selepas berhenti kerja sebagai pengawal pada 2018, selain terpaksa menanggung masalah fizikal dan psikologi, kesukaran menyesuaikan diri dan dibelenggu memori menyakitkan.

“Saya berharap dikurniakan hari yang tenang dan tidak lagi menjalani malam yang sukar,” kata Sukdave, yang kini berkerusi roda dan tinggal bersama isterinya yang sakit, Kuldip Kaur.

Sukdave berkata, dua anak lelaki dan dua anak perempuannya sudah mempunyai tanggungan masing-masing untuk menyara tujuh cucunya.

‘Kegilaan’ JRA

Sukdave Singh diselamatkan selepas ditembak JRA dalam krisis tebusan pada 1975. (Gambar Sukdave Singh)

Serangan JRA di Kuala Lumpur mendapat liputan antarabangsa, apabila melibatkan kenamaan dari hampir 10 negara dan 53 tebusan.

JRA, yang berjuang demi revolusi komunis global, dikenali di seluruh dunia pada 1972 susulan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Lod, di Tel Aviv, Israel, yang mengorbankan 24 jiwa selain mencederakan 76 lain.

Pada Ogos 1975, kumpulan bersenjata ultra kiri itu menyerbu tingkat sembilan bangunan 12 tingkat AIA di Jalan Ampang dan menawan tebusan yang terdiri daripada pegawai kedutaan Amerika Syarikat dan Sweden, menguasai pejabat AIA, dan firma Jepun, C Itoh.

Mereka menuntut pembebasan tujuh pemimpin mereka yang dipenjarakan di Jepun dan mengancam membunuh semua tebusan jika tuntutan itu tidak dipenuhi.

Keadaan tegang berlarutan sebelum kumpulan berkenaan membebaskan tebusan wanita dan kanak-kanak selepas dua hari, manakala 15 tebusan lelaki dilepaskan dua hari kemudian.

Kumpulan militan itu akhirnya diberi perlindungan oleh pemimpin Libya ketika itu, Muammar Gaddafi, selepas sekurang-kurangnya 10 negara diminta namun kebanyakannya tidak membenarkan kumpulan itu mendarat.

Sebelum ini, FMT membantu Sukdave sejak 2020 apabila beliau secara terbuka mengakui memerlukan bantuan dan mengalami depresi. Susulan laporan itu, sekumpulan penyumbang menanggung kos mengembalikan penglihatan di mata kirinya, dan yang lain menderma untuk kebajikannya.

Sukdave, yang mula bertugas dengan AIA pada 1966 dengan gaji asas $100, menerima $2,000 daripada syarikat itu termasuk kos perubatannya sehingga beliau bersara, yang dilanjutkan hingga 2003.

“Saya ucap penghargaan tak terhingga kepada mereka yang tampil membantu dan saya doakan mereka dikurnia kegembiraan dan kesihatan yang baik,” kata Sukdave.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.