Terlalu lama tunggu, Kimma tak mahu lagi mohon sertai BN

Terlalu lama tunggu, Kimma tak mahu lagi mohon sertai BN

Kongres India Muslim Malaysia percaya ada pihak menghalang permohonannya.

Presiden Syed Ibrahim Kader percaya ada pihak menghalang Kimma menyertai BN.
KUALA LUMPUR:
Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) tidak lagi akan memohon untuk menyertai Barisan Nasional (BN), susulan tiada kemajuan kepada permohonan sebelum ini.

Presiden Syed Ibrahim Kader berkata sejak sekian lama permohonan Kimma ditolak atas alasan BN gagal mencapai kata sepakat.

Beliau percaya ada pihak menghalang permohonan Kimma. “Tetapi berapa lama kita boleh menunggu. Mulai sekarang kami tidak lagi mengemukakan sebarang permohonan untuk menyertai BN.”

“Tetapi jika BN mengundang kami, kami akan menerimanya. Ini bukan keputusan oleh saya tetapi oleh semua ahli dan dimuktamadkan oleh majlis tertinggi kita,” katanya ketika berucap pada perhimpunan agung Kimma di Pusat Dagangan Dunia.

Dalam pada itu, Kimma menggesa parti tunjang BN, Umno untuk tidak mengabaikan komuniti India Muslim. “Kami lemas dan memerlukan ‘saudara besar’ kami, Umno, untuk menyelamatkan kami. Saya tidak mahu masyarakat India Muslim dilayan seperti bola – disepak-sepak.”

“Bekas perdana menteri Najib Razak tidak pernah mengabaikan kami,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi BN Zahid Hamidi yang turut hadir di majlis sama akui permohonan Kimma berdepan kekangan kerana menerima parti baharu perlukan persetujuan semua komponen sedia ada, iaitu Umno, MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

“Kita kena hormat perlembagaan BN iaitu penerimaan parti kena sebulat suara setuju,” katanya pada sidang media.

Pada PRU15, Syed Ibrahim bertanding di Parlimen Puchong atas tiket BN. Sebagai parti yang mesra BN, ia dikelompokkan bersama beberapa parti lain dalam “Friends of BN”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.