Sekat laman berita untuk halang laporan tak bertanggungjawab, tegas SKMM

Sekat laman berita untuk halang laporan tak bertanggungjawab, tegas SKMM

SKMM berkata ketika ini terdapat peningkatan dalam pelaporan berita yang tidak bertanggungjawab dan tidak tepat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menegaskan ia ada tanggungjawab melindungi rakyat daripada kandungan memudaratkan, dan melindungi integriti raja berperlembagaan serta demokrasi. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan tindakan menyekat beberapa laman berita bukan untuk menyekat kebebasan media tetapi bagi memastikan maklumat disebarkan secara bertanggungjawab.

SKMM dalam satu kenyataan, berkata ketika ini terdapat peningkatan dalam pelaporan berita yang tidak bertanggungjawab dan tidak tepat.

Katanya, beberapa saluran berita didapati dengan sengaja menyebarkan maklumat mengelirukan ataupun menerbitkan kandungan yang tidak tepat, yang boleh mengancam keharmonian masyarakat.

“Untuk menangani isu-isu ini, SKMM mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik dan mengancam.

“Salah satu matlamat SKMM ialah untuk memberikan perlindungan kepada rakyat daripada kandungan yang memudaratkan, dan melindungi integriti raja berperlembagaan dan demokrasi,” kata kenyataan itu.

SKMM menjawab kenyataan Reporters Without Borders (RSF) yang bimbang dengan tindakan diambil terhadap portal berita yang mengkritik Putrajaya.

Kata kumpulan itu, tindakan kerajaan mengehadkan akses kepada sebilangan laman berita akan meninggalkan kesan negatif pada demokrasi negara.

Setakat ini, SKMM mengehadkan akses MalaysiaNow, UtusanTV dan TV Pertiwi.

Kata SKMM lagi, pihaknya terbuka untuk berdialog dan sesi libat urus dengan editor kanan dan wartawan untuk menangani kebimbangan serta isu-isu berkaitan dengan kebebasan bersuara.

“SKMM juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak media bagi memerangi peningkatan maklumat kurang tepat dan palsu yang berniat jahat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.