
Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) berkata semakan kehakiman perlu untuk melindungi autonomi mahasiswa, yang dikatakan semakin berkurangan di sebalik cadangan garis panduan yang didakwa dikeluarkan oleh jabatan bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
Satu salinan apa yang didakwa cadangan garis panduan itu bocor di media sosial.
Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin semalam berkata beliau tidak tahu mengenai garis panduan itu dan tiada cadangan dikemukakan kepadanya.
Katanya, beliau lebih cenderung mahasiswa sendiri yang menetapkan garis panduan dan memantau acara sedemikian.
Susulan kenyataan Khaled itu, Umany berkata tiada pengumuman bahawa cadangan garis panduan itu ditarik balik.
“Kami bimbang apabila garis panduan itu dilaksanakan, ia membuka laluan kepada sekatan tidak masuk akal sama bagi aktiviti lain seperti persembahan kebudayaan, penciptaan lagu, dan perdebatan.”
Jumaat lalu, China Press melaporkan garis panduan dicadangkan itu antara lain menyatakan tempat duduk lelaki dan wanita perlu diasingkan, selain pakaian memaparkan lambang “Illuminati” dan gaya rambut punk dilarang.
Kumpulan pelajar Islam bidas Umany
Sekumpulan persatuan pelajar Islam membidas Umany menyifatkan garis panduan dicadangkan itu konservatif atas alasan ia sebenarnya progresif kerana dapat membantu perkembangan mahasiswa dalam aspek “akhlak, spiritual dan sosial”.
Kumpulan itu, yang diketuai Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), berkata membenarkan konsert di mana lelaki dan wanita boleh bergaul secara bebas “tidak progresif” kerana ia akan memberi kesan negatif.
“Gamis kesal dengan tuduhan Umany menyatakan matlamat pentadbiran IPT (institusi pengajian tinggi) menyerupai Taliban, sedangkan jelas dinyatakan kebenaran untuk mengadakan konsert, namun dengan beberapa garis panduan selari dengan rukun negara kelima.
“Garis panduan tersebut tidak keterlaluan, malah wajar kerana dapat mengelakkan gangguan seksual dan keruntuhan moral,” katanya dalam kenyataan bersama, yang turut merangkumi Kelab Ma’aruf Universiti Islam Antarabangsa dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.