Kerajaan perpaduan ketentuan, Saarani beritahu PN terima takdir Allah

Kerajaan perpaduan ketentuan, Saarani beritahu PN terima takdir Allah

Menteri besar Perak berkata PN perlu belajar 'mendamaikan hati' kerana jika Allah mengkehendaki pastinya gabungan itu berkuasa.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, berkata Perikatan Nasional (PN) perlu menerima takdir sebagaimana ajaran Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Saarani Mohamad menasihati Perikatan Nasional (PN) belajar “mendamaikan hati” menerima ketentuan Allah yang mentakdirkan pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Menteri besar Perak berkata, semua pihak perlu belajar menerima hakikat tersebut dan mendamaikan hati sekiranya masih ada rasa kurang senang dengan perkara itu.

Katanya, ada hikmah di sebalik kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pasca PRU15 lalu.

“Anak saya pening, dia tanya sama ada saya rasa bersalah atau tidak berkawan dengan PH untuk tubuhkan kerajaan Perak, saya jawab kepada dia untuk damaikan hati menerima takdir sebagaimana diajar dalam Islam.

“Semasa PRU15 lalu, memang BN merancang untuk bertanding solo bagi menubuhkan kerajaan, begitu juga PH dan Perikatan Nasional (PN), namun takdir Allah menentukan bahawa kerajaan yang wujud adalah kerajaan perpaduan PH dan BN,” katanya menurut Utusan Malaysia ketika hadir program di Kempas Permai, Johor Bahru.

Beliau ketika mengulas lanjut, berkata kerajaan PN akan tertubuh selepas PRU15 jika itu kehendak Allah.

“Jika Allah mahukan kerajaan PN tertubuh selepas PRU15, maka boleh sahaja gabungan itu menang majoriti namun itu tidak berlaku. Jadi, kita sebagai rakyat perlu belajar damaikan hati masing-masing,” katanya.

Saarani berkata, kuasa diberikan kepada kerajaan perpaduan bagi memerintah negara ditentukan Allah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.