Hisap vape punca kes buli di Ranau, 10 pelajar ditahan

Hisap vape punca kes buli di Ranau, 10 pelajar ditahan

Polis berkata, siasatan awal mendapati sekumpulan pelajar dikatakan tidak berpuas hati dan marah kepada penghisap vape yang menyusahkan pelajar asrama lain.

Tangkap layar video tular menunjukkan beberapa pelajar dipukul sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah menengah berasrama di Ranau, Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Berang akibat hisap vape dalam asrama dipercayai punca beberapa pelajar dipukul sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Ranau.

Ketua Polis Ranau, Simiun Lomudin berkata masing-masing lima pelajar berusia 15 hingga 17 tahun ditahan semalam dan hari ini.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai pelajar yang memukul dikatakan tidak berpuas hati dan marah kepada mangsa (pelajar) yang menghisap vape kerana menyusahkan pelajar asrama lain,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku 3 Ogos lalu dan hanya tular di media sosial semalam.

Katanya, semuanya kini dalam lokap dan akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan selesai mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut.

Semalam, tular video 5 minit 33 saat menunjukkan beberapa pelajar menendang, menumbuk dan menampar beberapa pelajar lain.

Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan buli itu dan berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.