Belanjawan 2024: KBS mohon pelepasan cukai bagi kos latihan sukan

Belanjawan 2024: KBS mohon pelepasan cukai bagi kos latihan sukan

Ketika ini, hanya pembelian alatan sukan diberikan pelepasan cukai.

Hannah Yeoh berkata, cadangan pelepasan cukai untuk yuran latihan sukan boleh menggalakkan gaya hidup sihat dan membantu atlet mempunyai pekerjaan, jika ramai menggunakan khidmat mereka. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha memasukkan kos atau yuran latihan sukan dalam senarai pelepasan cukai bagi gaya hidup menerusi Belanjawan 2024, kata Menterinya, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, KBS sedang membuat permohonan itu kepada Kementerian Kewangan bagi membolehkan individu mengeluarkan kos atau yuran latihan sukan diberikan pelepasan cukai.

Berdasarkan pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997, katanya, hanya pembelian alatan sukan diberi pelepasan cukai.

“Sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan masih berjalan dan tahun ini kita fokus memohon untuk memberi pelepasan cukai kepada ibu bapa atau individu berbelanja untuk latihan sukan. Objektifnya untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kanak-kanak didorong mengikuti latihan sukan pada usia muda. Ini juga akan membantu atlet kita mempunyai pekerjaan, jika ramai menggunakan khidmat latihan sukan. Kita mahu membangunkan industri sukan melalui kaedah ini,” katanya selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan Sabah (EISS) 2023 di sini.

EISS julung kali diadakan di Sabah bertujuan memberi pendedahan mengenai peranan dan sumbangan pelbagai segmen industri sukan, termasuk pelancongan sukan, kemudahan sukan, peruncitan sukan, perubatan sukan, pengurusan acara sukan dan pendidikan sukan.

Program anjuran KBS menerusi Sekretariat Industri Sukan itu berlangsung dua hari mulai hari ini, melibatkan penyertaan 40 pemain industri sukan dari Semenanjung dan Sabah.

Terdahulu, Yeoh dalam ucapannya berkata, Sabah terkenal dengan destinasi sukan menarik seperti selam skuba, pendakian gunung, golf dan aktiviti semula jadi lain.

Sebagai dorongan pertumbuhan industri sukan di negeri itu, beliau berkata, KBS meluluskan RM774,000 daripada permohonan Geran Padanan Sukan kepada syarikat dan pertubuhan sukan di Sabah.

“Saya akan memastikan kerjasama berterusan antara KBS dengan KBS Sabah dalam pelbagai isu berkaitan pembangunan belia dan sukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.