Ahli Umno diseru jangan terpengaruh kempen tak keluar mengundi

Ahli Umno diseru jangan terpengaruh kempen tak keluar mengundi

Ahli Umno diseru ketepi perbezaan kerana parti juga mengharapkan PH menyokongnya pada PRK Pelangai, kata Zahid Hamidi.

Presiden Zahid Hamidi berkata tentunya ahli Umno juga mendambakan kemenangan untuk kerajaan yang stabil.
MUAR:
Pengundi Umno pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diharap tidak terjebak dengan kempen oleh pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak keluar mengundi pada 9 September ini, kata Presiden Umno Zahid Hamidi.

Beliau berkata ahli-ahli Umno perlu mengetepikan perbezaan parti yang terdapat dalam kerajaan perpaduan dan memberikan sokongan padu kepada calon kerajaan.

“Kita hendaklah mendukung mereka (PH) kerana kita harap mereka juga akan sokong kita di PRK Pelangai nanti dan ini langkah pertama kerjasama yang diperlihatkan pelbagai parti untuk mendukung calon kita. Kita tentunya mendambakan kemenangan untuk terus stabilkan kerajaan Johor dan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program di Sungai Abong yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Zahid berkata beliau juga tidak mahu pengundi pada PRK kali ini terkeliru dengan propaganda pihak pembangkang yang cuba mengelirukan orang ramai dengan isu kaum, agama, dan institusi diraja (3R) terutama dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu.

Bagaimanapun beliau yakin Pengerusi Umno Johor Mohamed Khaled Nordin dan Onn akan menggerakkan semua jentera untuk menolak kekeliruan dan menepis dakwaan yang cuba ditimbulkan pihak pembangkang.

Mengulas tentang kerjasama BN dan DAP yang sering dimainkan pembangkang dalam kempen mereka, Zahid berkata pihak pembangkang seharusnya sedar mereka juga pernah melakukan perkara sedemikian sebelum ini.

“Tanya diri mereka dahulu kerana mereka pernah bekerjasama dengan DAP, tanya dengan PAS berapa kali kerjasama dengan DAP? Begitu juga Bersatu kita lihat mereka pernah dengan DAP ketika kerajaan Pakatan Harapan 1.0 dulu.

“Dalam situasi ini mereka sengaja mahu kelirukan rakyat yang mereka berjaya dalam PRN di enam negeri lalu dan mereka masih mencuba, tapi ingat pengundi Johor berlainan, lebih istiqamah dan tidak akan terjebak dengan pelbagai dakyah,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandang, Salahuddin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.