PRK: Pemandu bas kilang ditahan rosak poster parti

PRK: Pemandu bas kilang ditahan rosak poster parti

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata suspek ditahan kerana disyaki merosakkan poster parti politik menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki itu direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menahan seorang pemandu bas kilang bagi membantu siasatan poster sebuah parti politik yang dirosakkan menggunakan senjata tajam di kawasan Tampoi.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata lelaki berusia 62 tahun itu ditahan kira-kira 5.35 pagi, berdasarkan hasil risikan sepasukan “Team Cantas” Jabatan Siasatan Jenayah.

Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya merampas sehelai bendera parti politik berukuran 117cm x 58cm dan sebilah pisau mata gergaji berukuran 34cm daripada lelaki itu.

“Turut dirampas, satu kamera papan pemuka jenama WDR berdefinisi tinggi, sebuah bas kilang jenis Hino serta satu telefon bimbit jenis ZTE Blade.

“Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Kamarul Zaman berkata, lelaki berkenaan direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan semua parti dan penyokong menghormati satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster, gegantung, kain rentang dan sebarang tindakan khianat terhadap harta-benda parti politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.