Ibu, kekasih didakwa bunuh anak kandung

Ibu, kekasih didakwa bunuh anak kandung

Pasangan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh, Mary Teh May Yee, 44, dan S Puvaneswaran, 29, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh anak lelaki kandung dalam kejadian bulan lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh anak lelaki kandung berusia lima tahun dalam kejadian bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, Mary Teh May Yee, 44, dan S Puvaneswaran, 29, bersama-sama membunuh Teh Joseph di rumah di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan pada 12.55 tengah malam, 22 Ogos lalu.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Di mahkamah yang sama, Puvaneswaran yang juga pemandu lori mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan keterangan bertulis palsu terhadap seorang anggota polis di Balai Polis Seri Kembangan pada 2.57 pagi, 22 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa kemudiannya menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula semua kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita dan teman lelakinya ditahan polis kerana disyaki mendera anak kandungnya sendiri sampai mati.

Kedua-dua suspek pada mulanya membawa kanak-kanak itu ke hospital mendakwa mangsa terlanggar lori tetapi hasil bedah siasat mendapati ada kecederaan akibat didera pada badan si mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.