
Empat bahagian itu termasuk Seksyen 1, Seksyen 2, Seksyen 6 dan Seksyen 11 yang apabila siap sepenuhnya akan menghubungkan Seksyen 1 dengan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE); Seksyen 2 dengan Lebuhraya Shah Alam (Kesas); Seksyen 6 dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar); dan Seksyen 11 dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Selain itu, Seksyen 3, 4, dan 7 pula dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun kewangan 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Lyndon Alfred Felix berkata, pihaknya menjangkakan pertumbuhan positif aliran trafik susulan pembukaan empat bahagian baharu itu.
“Beberapa faktor yang menyumbang kepada keyakinan (pertumbuhan positif aliran trafik) ini adalah, pertama: tiga daripada empat bahagian ini terletak di Selangor dengan jumlah trafik yang cenderung lebih tinggi.
“Kedua, bahagian-bahagian ini dihubungkan dengan lebuh raya utama lain yang akan menggalakkan lebih banyak penggunaan, dan pembukaan empat bahagian ini akan mewujudkan peluang lebih besar kepada pengangkutan sederhana hingga jauh serta kenderaan komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lyndon berkata. pihaknya menjangkakan peningkatan pengguna jarak sederhana hingga jauh serta peningkatan bagi kenderaan komersial dengan kesesakan di Lebuhraya PLUS juga akan memainkan peranan penting dalam mengalihkan pengguna jalan raya ke WCE.
Beliau berkata, sejak pembukaannya pada 2019, empat bahagian yang beroperasi mencatatkan angka trafik yang memberangsangkan dengan purata 50,000 hingga 60,000 kenderaan setiap hari, menunjukkan peningkatan sebanyak 65% berbanding tahun kewangan sebelumnya.
“Semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April lepas, trafik mencapai rekod 100,000 kenderaan setiap hari, peningkatan yang ketara berbanding 60,000 kenderaan setiap hari semasa tempoh perayaan yang sama dalam tahun kewangan sebelumnya,” katanya.
Dalam pada itu, Lyndon berkata sehingga kini 99.9% daripada pengambilan tanah untuk keseluruhan projek berkenaan telah selesai.
“Proses perbicaraan tanah bagi baki lapan lot berkaitan Seksyen 3 WCE (Kesas-Laluan 2 Lebuhraya Persekutuan) telah selesai dan pembayaran kepada pemilik tanah sedang dimuktamadkan.
“Kami menjangka dapat menyelesaikan sepenuhnya proses pengambilan tanah untuk lapan lot itu menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Ditubuhkan pada Disember 2000 dan disenaraikan pada 17 Nov 2003, WCE Holdings memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek WCE menerusi anak syarikatnya West Coast Expressway Sdn Bhd.
Projek penswastaan bina-operasi-pindah ini melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 320km, termasuk 83km bahagian bebas tol di Laluan Persekutuan 5 yang dinaik taraf Jabatan Kerja Raya, menghubungkan pantai barat Semenanjung dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak.