
Amirudin, yang baru sahaja dilantik menjadi menteri besar bagi penggal kedua berkata, proses tersebut harus dicapai oleh pimpinan negara dan masyarakat.
“Proses rekonsiliasi atau ta’lif ini bertujuan mengurangkan ‘ketajaman’ yang kita lihat sejak tragedi ketidakbertanggungjawaban Februari 2020 yang mengabaikan proses demokrasi dan menafikan penglibatan serta peranan langsung rakyat dalam menentukan masa depan negara,” katanya pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Shah Alam semalam.
Amirudin merujuk kepada Langkah Sheraton, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah.
Beliau berkata, politik dan praktis proses demokrasi bukan sebuah keadaan “pemenang-bolot-semua” dan tidak wajar dijadikan “zero-sum game”.
Katanya, Selangor baru sahaja melalui proses PRN yang agak kompetitif kerana ada pihak yang “bertindak melampaui batas sehingga mengabaikan dan melupakan adab”.
Sementara itu, dalam mesej berasingan, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa semua pihak agar melupakan sengketa politik selepas PRN, sebaliknya memberi fokus terhadap urus tadbir dan memperkukuhkan perpaduan terutama sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Chow berkata, tanpa perpaduan rakyat, kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan yang berterusan tidak dapat dicapai.
“Hentikanlah sebarang provokasi, elakkan membuat kenyataan bersifat adu domba menggunakan sentimen agama dan kaum atau menyebarkan maklumat palsu terutama di media sosial sehingga mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan ke-66 semalam, lapor Bernama.