
Empat tahun sudah berlalu sejak kali terakhir sambutan Hari Kebangsaan diadakan, sebelum penularan wabak Covid-19, namun bilangan rakyat yang hadir menonton acara perbarisan menunjukkan semangat patriotik masih subur.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada sidang media berkata, lebih 100,000 orang hadir di ibu kota pentadbiran itu.

Acara sambutan Hari Kebangsaan hari ini dihadiri Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, diiringi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bagi segelintir rakyat, perjalanan yang jauh berbaloi demi nilai sambutan Hari Kebangsaan.
Robin Gan, 51, datang jauh dari selatan Semenanjung, bersama anak-anaknya agar beliau dapat menerapkan makna menjadi rakyat Malaysia pada mereka.
“Saya datang jauh dari Johor Bahru semata-mata untuk menyambut Hari Kebangsaan. Penting sebagai rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam acara kerajaan supaya kita boleh maju.
“Saya sengaja bawa anak-anak saya ke sini agar mereka dapat alami situasi di mana semua bangsa berkumpul,” katanya kepada FMT.

Bagi yang lain, Hari Kebangsaan menjadi peringatan bagi mereka setiap tahun, kebanggaan menjadi rakyat Malaysia.
Elaya Kumaran, 45, berkata selepas sekian lama Hari Kebangsaan tidak diraikan, sambutan hari ini membolehkannya mengimbau masa lalu.
“Selepas begitu lama, saya dapat mengimbau kenangan semasa kanak-kanak, ketika sambutan meriah dan orang ramai berbilang bangsa (bergaul).
“Merdeka adalah segala-galanya bagi kita. (Bercakap tentangnya), jadi meremang bulu roma,” katanya.
Beliau berkata, manfaat menjadi rakyat Malaysia sejati adalah merasakan semangat perpaduan, tanpa mengira kaum dan budaya, apabila lagu kebangsaan dimainkan.