
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkata ia seolah-olah ‘menghukum’ mereka kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Ahli Parlimen pun ada tanggungjawab lain yang mungkin menyebabkan mereka perlu berada di luar Parlimen. Ada yang mungkin kena balik kawasan. Manakala Ahli Parlimen yang jadi menteri atau berada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mungkin ada tugas rasmi lain.
“Kalau cadangan itu diteruskan, bermakna Ahli Parlimen dihukum kerana melakukan tugas mereka, dan itu tak adil,” katanya.
Beliau mengulas laporan The Star yang menyebut Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul sedang mempertimbangkan cadangan memotong elaun ahli Dewan Rakyat yang gagal menghadiri persidangan, kerana langkah itu boleh mengatasi isu wakil rakyat ‘ponteng’ daripada menjalankan tugas mereka.
Sebelum itu, Johari turut dibidas susulan cadangannya menaikkan kadar denda maksimum sehingga 10 kali ganda terhadap wakil rakyat yang menyalahi peraturan Parlimen.
Johari berkata menaikkan kadar denda sehingga RM10,000 itu wajar dan berpatutan, memandangkan pelaku kesalahan sememangnya bukan “budak”, merujuk teguran Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang menyifatkan ia melanggar hak dan kebebasan Ahli Parlimen.
Katanya, sebelum ini pernah berlaku wakil rakyat mengeluarkan kenyataan tidak wajar terhadap wanita atau mengeluarkan kata-kata kesat ketika berbahas, serta individu berkelakuan seperti ‘gangster’ di Parlimen.
Sementara itu, Hassan mengingatkan Johari supaya jangan terlalu “asyik” menghukum mereka dan cukup sekadar merujuk kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Speaker mesti bersikap positif dan berbaik sangka dengan Ahli-ahli Parlimen. Jangan jadikan dewan rakyat jatuh ke tahap sekolah di mana speaker bertindak sebagai ‘ketua kelas’.
“Dewan rakyat sudah ada ‘standing order’ yang telah teruji berpuluh tahun, maka tidak perlulah ditambah kod etika dan hukuman terhadap Ahli-ahli Parlimen,” tegasnya kepada FMT.
Manakala Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dari DAP pula berkata speaker wajar mempertimbangkan hukuman gantung dan keluar dewan yang dilihat lebih berkesan berbanding memotong elaun.
“Potongan elaun itu bukanlah satu angka yang besar. Mereka lebih bimbang jika digantung kehadiran,” katanya.