MIC gerak jentera bantu calon PH di Pulai

MIC gerak jentera bantu calon PH di Pulai

Naib Presiden MIC M Asojan berkata kira-kira 3,000 ahli parti itu akan membantu kemenangan calon PH dalam PRK Parlimen Pulai.

Naib Presiden MIC M Asojan berkata terdapat 20,508 pengundi India di Parlimen Pulai yang signifikan untuk membantu kemenangan calon yang mewakili gabungan PH-BN itu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
MIC akan menggerakkan jenteranya melibatkan kira-kira 3,000 ahli bagi memberi sokongan dan membantu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat dalam PRK Parlimen Pulai, 9 September ini.

Naib Presiden MIC M Asojan berkata terdapat 20,508 atau 12.31% pengundi India di Parlimen Pulai yang signifikan untuk membantu kemenangan calon yang mewakili gabungan PH-Barisan Nasional (BN) itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui undi masyarakat India bukan penentu atau ‘king maker’ dalam pilihan raya itu, jika undi masyarakat Melayu atau Cina berpecah.

“Kalau nak kata kita ‘king maker’ secara terbuka tidak boleh kerana ini adalah PRK dan keputusan akan bergantung pada peratusan keluar mengundi. Mana-mana kaum sekiranya jumlah peratusan mengundi mereka rendah, ia akan menjejaskan keputusan nanti.

“Namun, jumlah pengundi India adalah signifikan dan kita akan berusaha memastikan sekurang- kurangnya 50% daripada mereka keluar mengundi pada 9 Sept ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu komuniti India di Pejabat Persekutuan Persatuan-Persatuan India Berdaftar Negeri Johor (GAPPIN).

Berhubung sokongan yang ditunjukkan masyarakat India di Parlimen itu terhadap Suhaizan, Asojan berkata beliau yakin sokongan padu akan diberikan berikutan komitmen yang dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membantu menangani masalah kaum itu dalam masa setahun termasuk soal kemiskinan.

“Memang ada rasa tidak puas hati dalam beberapa perkara termasuk isu baru-baru ini, ia memang menjadi keraguan dan kemusykilan dalam kalangan jentera MIC, tetapi Presiden MIC SA Vigneswaran telah beri penerangan agar kita terus menyokong kerajaan perpaduan.

“Ini kerana janji yang diberikan oleh perdana menteri sendiri (kepada masyarakat India) iaitu beliau akan pastikan permasalahan dan perkara berbangkit berkaitan masyarakat India diambil kira, beliau minta tempoh setahun jadi kita percaya janji beliau,” katanya.

Pada 2 Ogos lepas, Anwar dilapor akan mengkaji permintaan MIC agar wakil daripada parti itu dapat diberi peranan lebih besar dalam kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.