Lelaki dengan 12 rekod jenayah mati ditembak di Klang

Lelaki dengan 12 rekod jenayah mati ditembak di Klang

Polis berkata, mangsa berusia 36 tahun itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.

Keadaan di tempat kejadian di Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, Klang. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang memiliki 12 rekod jenayah lampau mati ditembak di Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, Klang semalam.

Ketua Polis Klang Utara, Vijaya Rao Samachulu berkata polis menerima aduan mengenai tembakan di kawasan Kapar pada 10.35 malam.

Bertindak atas maklumat itu, katanya, sepasukan polis dari IPD Klang Utara bergegas ke lokasi kejadian yang bertentangan rumah kedai dua tingkat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati saksi terdengar beberapa das tembakan dan berlaku kemalangan kecil di lokasi kejadian.

“Mangsa berusia 36 tahun itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, usaha mencari bukti dan rakaman kamera litar tertutup sedang dijalankan bagi mengesan beberapa saksi serta suspek terbabit dalam tembakan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.