
Arnold Puyok daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, penggubal undang-undang Sabah dan Sarawak mempunyai peluang lebih baik untuk memperoleh lebih banyak kuasa bawah MA63, terutamanya berhubung pemilikan sumber asli, jika negeri-negeri itu membentuk satu blok.
“Suara yang lebih lantang dari Borneo adalah lebih baik bagi Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan autonomi mereka berdasarkan MA63,” kata Puyok kepada FMT.
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, selain membantu mengembalikan hak MA63, blok itu boleh membantu dalam menjamin kestabilan politik negara.
“Dalam realiti hari ini, landskap politik akan menjadi lebih berpecah-belah jika tiada blok, dengan lebih banyak kombinasi dan pilih atur boleh diwujudkan sebagai pakatan.
“Dengan wujudnya blok, di mana parti-parti sepatutnya bertindak bersama, kemelut politik dan kekacauan ini dapat dikurangkan,” katanya kepada FMT.
Oh juga berkata, jika blok itu boleh merangsang penyelarasan antara kedua-dua wilayah dalam politik serta pembangunan sosioekonomi, ia boleh menjadi “kuasa kuat yang tidak boleh diabaikan”.
Penganalisis itu berkata demikian sebagai respons terhadap bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak, yang menggesa pengulas politik agar tidak menganjurkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi konsep yang menjurus kepada pengasingan seperti blok Borneo.
“Sebagai orang Sabah, saya sangat tidak suka dengan kenyataan sebegitu. Ia menunjukkan bahawa kita hanya mempunyai motivasi untuk mengukuhkan kuasa politik kita pada peringkat persekutuan,” kata Salleh, yang juga Adun Usukan, kepada FMT.
Salleh turut menggesa pengulas politik dan media untuk berhenti menyifatkan Ahli Parlimen dan ahli politik dari Sabah dan Sarawak sebagai “dalang politik” dan mengelak daripada mengaitkan mereka dengan sebarang rancangan untuk menyokong atau menjatuhkan mana-mana kerajaan.
Bagaimanapun, Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, blok itu sememangnya boleh menjadikan kedua-dua Sabah dan Sarawak sebagai “dalang politik” dengan kuasa membuat keputusan politik yang penting, seperti menentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri “dalam apa jua keadaan”.
Beliau berkata kedua-dua wilayah perlu kukuh dan bersatu.
GRS perlu setanding dengan GPS
Puyok juga berkata, perhatian tertumpu kepada GPS dan GRS dan sama ada mereka boleh membentuk pakatan politik, yang akan memajukan perjuangan untuk hak MA63, memandangkan kedua-duanya sedang mengukuhkan kuasa wilayah mereka.
Walaupun kedua-dua gabungan itu kelihatan sependapat dalam menuntut pemencaran kuasa, GPS masih belum komited kepada rancangan blok Borneo kerana gabungan itu berpendapat politik Sabah terlalu sukar diramalkan, manakala golongan elit politik mereka kurang bersatu berbanding di Sarawak, kata Puyok.
“Tidak seperti GPS, GRS tidak menunjukkan keberanian dan kemahiran yang mencukupi dalam memperjuangkan MA63, menerusi saluran undang-undang mahupun politik,” katanya, memetik langkah Sarawak pada 2019 menyaman Petronas bagi royalti petroleum bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.
Beliau turut memetik usaha GPS memperjuangkan kuasa eksekutif untuk mengurus bidang yang mempunyai kepentingan strategik, seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pelancongan dan kewangan, dengan memanfaatkan pengaruhnya sebagai salah satu blok terbesar dalam persekutuan.
“(Oleh itu), blok Borneo akan kekal sebagai angan-angan melainkan GRS dapat meyakinkan GPS bahawa ia mempunyai kapasiti untuk melaksanakan kuasa wilayahnya dengan lebih berkesan,” katanya.