
Bekas perdana menteri itu mendakwa sistem sekolah vernakular memecahbelahkan negara, justeru beliau berkata memansuhkan sekolah berkenaan cara terbaik merapatkan jurang antara kaum.
Menyifatkan gesaan Mahathir “menghasut”, Ramanan menggesa ahli politik veteran itu berhenti membuat “kenyataan menghasut yang tidak membawa nilai kepada perpaduan negara”.
“Sekolah vernakular bukan punca perpecahan negara. Ia disebabkan ahli politik seperti Mahathir,” kata Ahli Parlimen Sungai Buloh dalam kenyataan.
“Mahathir memilih untuk melihat semuanya dari sudut perkauman bagi memastikan dirinya berada dalam berita.
“Pada usia 98 tahun, dia patut memainkan peranan menyatukan rakyat Malaysia, bukannya mencetuskan perpecahan.”
Timbalan ketua penerangan PKR itu menggesa Mahathir melawat sekolah vernakular untuk melihat bagaimana program dan sukatan pelajaran mereka menyumbang kepada pembinaan negara.
Semalam, Utusan Malaysia memetik Mahathir sebagai berkata, antara cara terbaik merapatkan jurang perkauman ialah melalui pendidikan dan menghapuskan sekolah vernakular antara langkah untuk mencapai matlamat itu.
Beliau turut mendakwa ada “kaum tertentu” enggan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sistem pendidikannya seperti imej “sekolah agama”.
Tetapi, meskipun keadaan itu diperbaiki, beliau mendakwa kaum minoriti tetap tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memutuskan kewujudan sekolah vernakular sah di sisi Perlembagaan.