Ugut bunuh ibu guna gunting, buruh dipenjara 8 bulan

Ugut bunuh ibu guna gunting, buruh dipenjara 8 bulan

Tertuduh V Kumaran didakwa acu gunting ke leher ibunya dalam kejadian pada 27 Ogos.

Buruh kontrak, V Kumaran mengaku salah di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan membuat ugutan bunuh dengan niat hendak mendatangkan rasa cemas. (Gambar Bernama)
IPOH:
Akibat mengugut bunuh menggunakan sebilah gunting dan mencederakan ibu kandung, seorang buruh kontrak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh.

Majistret S Punitha menjatuhkan hukuman itu terhadap V Kumaran, 48, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan bagi pertuduhan kedua selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh ditangkap pada Isnin lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Kumaran didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah secara lisan terhadap ibu kandungnya V Yallama, 73, dengan mengacukan gunting ke leher dengan niat hendak mendatangkan rasa cemas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Chemor di sini pada kira-kira 4 petang, 27 Ogos.

Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua iaitu mendatangkan kecederaan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh hukuman ditetapkan di bawah Seksyen 323.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili Siti Hajar Hamzah, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.