Pakar pengangkutan cadang kolaborasi syarikat penerbangan Sabah-Sarawak

Pakar pengangkutan cadang kolaborasi syarikat penerbangan Sabah-Sarawak

Rosli Khan berkata, negeri Borneo juga boleh bekerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah sedia ada bagi memenuhi keperluan sosial, ekonomi dan pelancongan.

Rosli Khan berkata, kerjasama antara dua negeri itu atau syarikat penerbangan tambang rendah sedia ada mungkin lebih berdaya maju memandangkan banyak laluan penerbangan tidak menguntungkan.
PETALING JAYA:
Sabah dan Sarawak wajar berganding bahu menubuhkan sebuah syarikat penerbangan secara bersama, bukannya secara berasingan, cadang seorang perunding pengangkutan.

Rosli Khan berkata, dua negeri Borneo itu wajar mempertimbangkan kerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah sedia ada bagi memenuhi keperluan sosial, ekonomi dan pelancongan, berbanding mewujudkan syarikat penerbangan masing-masing.

Katanya, syarikat penerbangan tambang rendah akan menyokong idea itu dan ia cara lebih selamat bagi dua negeri berkenaan menceburi perniagaan penerbangan berbanding bermula dari bawah.

“Hanya beberapa laluan popular dengan permintaan tinggi yang berbaloi untuk pelaburan ini, manakala banyak laluan lain sebenarnya membawa kerugian.

“Laluan kecil di bawah MASwings mendapat subsidi Putrajaya untuk meneruskan perkhidmatan itu.”

Bulan lalu, kerajaan Sarawak memeterai memorandum persefahaman dengan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk MASwings Sdn Bhd bagi membincangkan pengambilalihan syarikat penerbangan itu.

Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB), Kenny Chua dalam kenyataan Ahad lalu berkata, negeri itu dijangka memiliki syarikat penerbangan sendiri menjelang 2024.

“Kami memerlukan syarikat penerbangan dan hab terminal kargo sendiri. Kami mempunyai lesen, jurutera penerbangan, juruterbang dan lapangan terbang sendiri. Tiada apa mampu menghalang kami lagi,” katanya menurut Daily Express.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr yang menyokong idea syarikat penerbangan milik Sabah berkata, penting untuk kerajaan negeri tidak tergesa-gesa.

Katanya, segelintir rakyat Sabah masih kekurangan keperluan asas dan kerajaan negeri wajar melakukan kajian terperinci bagi menentukan kebolehlaksanaan cadangan itu.

“Buat masa ini, apa lebih diperlukan rakyat Sabah adalah bekalan air dan elektrik, selain infrastruktur jalan lebih baik. Ironinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu turut terjejas akibat gangguan bekalan air,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.