
Johari Abdul berkata menaikkan kadar denda sehingga RM10,000 itu wajar dan berpatutan, memandangkan pelaku kesalahan sememangnya bukan “budak”, merujuk teguran Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Katanya, sebelum ini pernah berlaku wakil rakyat mengeluarkan kenyataan tidak wajar terhadap wanita atau mengeluarkan kata-kata kesat ketika berbahas, serta individu berkelakuan seperti ‘gangster’ di Parlimen.
“Adakah mereka budak-budak? Tidak mereka bukan budak-budak yang buat kerja ini. Semua orang tua-tua. Takkan saya nak berdiam diri,” kata Johari kepada FMT.
Beliau menambah kadar denda yang dicadangkan itu tidak akan membebankan seorang Ahli Parlimen, yang menerima elaun mencecah RM25,000 sebulan.
“Boleh mampu. Jadi persoalannya bukan denda. persoalannya haruslah secara tertib berhujah dan berkelakuan dengan baik. Itu sahaja,” katanya.
Sebelum ini beberapa Ahli Parlimen membantah cadangan menaikkan kadar denda maksimum itu, antaranya Hassan dari PKR yang menyifatkan ia melanggar hak dan kebebasan Ahli Parlimen.
Tegasnya, para Ahli Parlimen bukannya kanak-kanak sekolah atau penjenayah yang perlu dihukum denda seperti di mahkamah, selain mengingatkan bahawa mereka bergelar Yang Berhormat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu bimbang hukuman itu akan disalahgunakan.
Menjawab kebimbangan mereka, Johari menjelaskan bahawa mereka yang didakwa melanggar peraturan Parlimen akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang turut disertai wakil pemerintah dan pembangkang, di mana mereka berpeluang membela diri.
“Hukuman itu daripada RM1,000 ke RM10,000, bukan automatik RM10,000,” tambahnya.