
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Idris Mohd Noor, berkata tiada sebarang masalah atau gangguan pada sistem bekalan elektrik dari pencawang milik SESB yang membekalkan elektrik ke KKIA pada hari kejadian.
“SESB menerima aduan mengenai gangguan bekalan yang berlaku di KKIA pada 29 Ogos 2023 jam 9.38 malam dan pemeriksaan segera mendapati punca bekalan elektrik di pencawang pembahagian utama KKIA adalah normal.
“Pengesahan dibuat dengan pihak pengurusan KKIA dan dimaklumkan bahawa masalah tersebut adalah berpunca daripada kerosakan pendawaian dalaman bangunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Naib Presiden Warisan Junz Wonz berkata kejadian KKIA yang “bergelap” akibat gangguan bekalan elektrik adalah sesuatu yang memalukan.
Menerusi Facebooknya, Adun Tanjung Aru itu berkongsi gambar situasi di pintu masuk utama pengangkutan udara ke Sabah itu, didakwa dihantar rakannya yang baru mendarat di KKIA.
Junz berkata rakannya itu secara sinis menyukai keadaan di lapangan terbang itu yang disifatkannya “sangat romantik”
“Malu betul,” kata Junz.
Dalam pada itu, Malaysia Airports dalam kenyataan memohon maaf atas gangguan berlaku sambil menambah berlaku gangguan kabel di satu daripada sub-stesennya.
Menurut kenyataan itu, bekalan tenaga berjaya dipulihkan pada malam sama dengan gangguan dalam operasi penerbangan adalah minima.