Jiran parah dipukul pengunci stereng, penganggur mengaku tak salah

Jiran parah dipukul pengunci stereng, penganggur mengaku tak salah

Tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin dengan sebutan semula kes pada 24 Okt.

Tertuduh, Ahmad Baba, 53, tidak dibenar ikat jamin memandangkan mangsa tinggal bersebelahan rumah, selain kejadian turut dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan memukul jirannya hingga parah menggunakan pengunci stereng kereta, minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Baba, 53, didakwa sengaja mendatangkan cedera parah terhadap Zulhelmi Md Yusof, 42.

Menurut Harian Metro, perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kesidang 2/17 Lorong Pandan, Melaka, pada 6.22 petang, 22 Ogos.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim membantah jaminan kerana mangsa adalah jiran bersebelahan rumah tertuduh, selain kejadian itu turut dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV).

Tertuduh bagaimanapun dalam rayuannya mendakwa mangsa atau pengadu sebelum ini pernah mengancam nyawanya dan tidak gila untuk memukul seseorang sesuka hati.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Hakim Mohd Sabri Ismail tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.