Gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’, Nur Jazlan beritahu DAP

Gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’, Nur Jazlan beritahu DAP

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata orang Melayu tidak menyokong DAP kerana agenda negara sekularnya bercanggah prinsip Islam dan Melayu.

Nur Jazlan Mohamed berkata pengundi Melayu berpendapat MCA tidak ‘ekstrem’ seperti DAP. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nur Jazlan Mohamed menggesa DAP menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” daripada perlembagaan parti itu jika mahu mendapat sokongan pengundi Melayu.

Katanya, orang Melayu tidak menyokong DAP disebabkan agenda negara sekularnya, yang bercanggah prinsip Islam dan Melayu.

Beliau mendakwa pengundi Melayu di Selangor dan Johor memberitahunya, mereka tidak boleh menerima pendirian politik DAP, yang dilihat dibuat berdasarkan kepentingan masyarakat Cina.

“Bila saya tanya kenapa selama ini orang Melayu boleh terima MCA dalam BN, mereka kata MCA tak ekstrem dan Umno jadi parti dominan dalam gabungan itu.

“Jika DAP masih was-was lakukan perubahan besar seperti mana pengorbanan yang Umno sanggup buat hari ini, saya jangkakan DAP akan terus dipulau pengundi Melayu dan Umno juga akan terus ditolak orang Melayu selagi kami bekerjasama dengan DAP,” katanya di Facebook.

Nur Jazlan berkata, cabaran lain dihadapi DAP ialah sokongan orang Melayu kepada PAS semakin meningkat, yang akan menyebabkan orang Cina terus sokong DAP, manakala orang Melayu beralih kepada PAS.

Bagi mengelakkan keadaan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Pulai itu berkata DAP perlu menjadi parti sederhana yang terus disokong orang Cina dan boleh diterima pengundi Melayu.

“DAP perlu ikut formula kejayaan BN yang sudah terbukti cemerlang lebih 60 tahun membela nasib orang Melayu tanpa mengabaikan hak rakyat bukan Melayu.

Prestasi Umno dalam PRN enam negeri baru-baru ini paling teruk, dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi DUN ditandinginya, susulan prestasi suram pada PRU15 November lalu.

Ini membawa kepada desakan perubahan dalam kepimpinan Umno, khasnya untuk Presiden Zahid Hamidi berundur. Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil turut mempersoalkan kerjasama parti itu dengan DAP susulan prestasi hambar Umno dalam pilihan raya.

Sementara itu, Nur Jazlan mendakwa Umno semakin lemah dari semasa ke semasa kerana dijadikan “punching bag” oleh PAS, DAP, PKR dan Bersatu selama ini.

“Propaganda pemusnahan imej berterusan membuatkan sebahagian pengundi Melayu, terutamanya generasi baharu mudah terpengaruh dan mula ada persepsi tak elok kepada Umno.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.