
Dua portfolio itu diberikan kepada seorang exco – bekas pemaju hartanah, S Sundarajoo.
Chow berkata, beliau tidak nampak sebarang konflik kepentingan kerana syarikat lama Sundarajoo, Eco World sudah membina projek membawa “penambahbaikan kepada alam sekitar”.
“Kalau (portfolio) itu dipegang dua orang dalam kerajaan negeri, ia masih sama – kerajaan yang (akhirnya) perlu putuskan permohonan pembangunan.
“Jika seseorang memegang portfolio perumahan dan seorang lagi pegang portfolio alam sekitar, mereka perlu duduk bersama untuk buat keputusan,” katanya dalam sidang media di bangunan DUN Pulau Pinang hari ini.
Pada 19 Ogos lalu, Aliran menyifatkan portfolio perumahan dan alam sekitar di bawah jawatankuasa sama yang diketuai bekas pemaju hartanah ialah konflik kepentingan.
Katanya, memberi dua portfolio itu kepada seorang exco akan mendatangkan masalah kerana ia menimbulkan kebimbangan bagaimana isu alam sekitar berkaitan pembangunan perumahan akan ditangani.
Jagdeep, yang memegang portfolio perumahan selama dua penggal, berkata komen Aliran tidak berasas.
Ini kerana katanya, kerajaan negeri mengenakan syarat mana-mana projek perumahan di Pulau Pinang perlu mengambil kira kesan terhadap alam sekitar dan iklim.
“Sebelum ini, 10 tahun saya sebagai exco perumahan, semuanya saling berkaitan. Perkara sama akan berlaku sekarang dengan semua exco baharu,” katanya sambil menambah dirinya dan Chow akan memastikan semua “dilakukan dengan betul”.
Sementara itu, Chow berkata, semua Adun akan menggunakan baki peruntukan daripada penggal 2018-2023 memandangkan kerajaan negeri baharu memasuki suku keempat tahun ini.
Katanya, had perbelanjaan dikenakan ke atas peruntukan bagi Adun dahulu supaya ada baki untuk digunakan pengganti mereka.
“Begitu juga dengan (wakil rakyat) pembangkang. Jika ada baki, kita akan teruskan,” katanya ditanya sama ada Adun pembangkang akan menerima peruntukan sama.