
Di sebuah asrama di Sepang, Selangor, FMT mendapati sekumpulan pekerja asing hidup dalam keadaan serba kekurangan.
“Lebih 30 daripada kami berkongsi sebuah tandas,” kata seorang pekerja asing yang enggan mendedahkan butiran majikan kerana bimbang dikenakan hukuman.
Pekerja yang dibawa dari Bangladesh dan Nepal ini ditempatkan di beberapa unit kedai, ada yang tiada bekalan elektrik, banyak unit berkulat, bersawang, pintu berkarat dan paip bocor.

Satu-satunya perabot mereka ialah katil dua tingkat.
Bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran berkata, undang-undang sudah ada untuk melindungi kebajikan pekerja, tetapi masalahnya terletak pada kekurangan penguatkuasaan.
Pindaan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 mengkehendaki majikan memastikan pekerja disediakan tempat tinggal berkeluasan minimum 3.6m persegi serta dibekalkan air dan elektrik.
Nisbah “pekerja kepada tandas” dihadkan pada 1:15 untuk mereka yang tinggal di asrama dan 1:6 bagi yang tinggal di luar.
“Kementerian Sumber Manusia sangat kekurangan pegawai penguat kuasa. Ini adalah masalah berterusan,” katanya sambil menambah beliau pernah membangkitkan isu itu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam semasa menerajui kementerian terbabit.
“Mereka tidak mempunyai pegawai penguat kuasa mencukupi, selain tiada teknologi moden sebenar untuk memantau perkara sebegini.”
Katanya, penindasan terhadap pekerja asing bertambah teruk kerana golongan itu tidak tahu hak mereka di Malaysia.
“Apa yang saya akan katakan bukan perkara popular – dalam semua organisasi ini, (jika) mereka mempunyai kesatuan sekerja kukuh, akan ada semak dan imbang.”
Adrian Pereira dari Inisiatif Utara-Selatan berkata, pihak berkuasa tempatan dan kedutaan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau keadaan pekerja.
Katanya, pemeriksa buruh perlu bekerjasama rapat dengan badan kawal selia berkaitan.
“Sebagai contoh, jika di ladang, kementerian bertanggungjawab ke atas perladangan harus membantu dalam menjalankan pemeriksaan perumahan ini. (Pemeriksa Buruh) juga boleh bekerjasama dengan kesatuan sekerja di sektor masing-masing untuk membantu.”