PRK Pulai: Calon PH cadang laluan khas untuk pengundi di Singapura

PRK Pulai: Calon PH cadang laluan khas untuk pengundi di Singapura

Suhaizan Kayat berkata cadangan mengwujudkan laluan khas untuk pengundi di Singapura pulang mengundi sudah dikemukakan kepada kerajaan.

Calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat berkata beliau terus dekati pengundi yang bekerja atau menetap di Singapura menerusi hebahan di media sosial. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu laluan khas di pintu masuk negara di Johor untuk pengundi yang bekerja atau tinggal di Singapura balik mengundi untuk PRK Parlimen Pulai 9 Sept ini.

Suhaizan berkata cadangan menyediakan laluan khas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) itu dikemukakan kepada kerajaan persekutuan bagi memudahkan pengundi pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

“Itu (cadangan laluan khas) memang ada dalam cadangan kita kepada pihak kerajaan persekutuan dan kita akan buat susulan.

“Dalam masa sama kita akan terus dekati pengundi yang bekerja atau menetap di seberang tambak (Singapura) menerusi hebahan di media sosial,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan mesra di pasar malam di Taman Tan Sri Yaakob, Perling.

Beliau berkata menjelang hari mengundi, kaedah berkempen terus dipelbagaikan termasuk ceramah mega yang akan dihadiri perdana menteri merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk khususnya memikat pengundi atas pagar.

Selain itu, Suhaizan berkata setakat hari ke empat kempen PRK itu, gerak gempur kempen beliau dan jentera telah meliputi kira-kira 15% hingga 20% kawasan pengundi di Parlimen berkenaan.

Pada PRK Parlimen Pulai, beliau berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan pengundian awal pada 5 Sept dan hari pengundian 9 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.