Mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara dijangka Oktober

Mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara dijangka Oktober

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata Malaysia memerlukan tadbir urus kukuh, pembiayaan besar dan sistem pertukaran boleh dipercayai serta telus.

Rafizi Ramli berkata, sebagai sekretariat Majlis Tenaga Negara, Kementerian Ekonomi akan menetapkan hala tuju dan dasar strategik peringkat tinggi. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bercadang mengadakan mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara seawal Oktober ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, Majlis Tenaga Negara akan dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, manakala Kementerian Ekonomi sebagai sekretariat akan menetapkan hala tuju dan dasar strategik peringkat tinggi bagi membolehkan jawatankuasa kerja menyelaras dan melaporkan kemajuan mengikut peringkat.

“Penubuhan Majlis Tenaga Negara adalah isyarat kukuh kepada hasrat kerajaan untuk bergerak melebihi pelan tindakan dan aspek penting pelaksanaannya,” katanya dalam ucap tama pada hari kedua Persidangan Peralihan Tenaga di sini.

Rafizi berkata, bagi merealisasikan manfaat ekonomi kepada negara, tiga struktur kritikal akan menjadi asas kepada matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Katanya, Malaysia memerlukan tadbir urus kukuh, pembiayaan besar dan sistem pertukaran boleh dipercayai serta telus.

Menurutnya, Kemudahan Peralihan Tenaga Negara bukan saja satu lagi kemudahan yang menempatkan pelaburan kerajaan, malah akan melaksanakan instrumen kewangan gabungan inovatif bagi menyatukan pembiayaan daripada saluran awam, swasta dan dermawan.

“Kerajaan melaksanakannya dengan membuat pelaburan bersama dalam projek utama sebagai modal konsesi atau menerusi institusi kewangan pembangunan, atau secara aktif, membangunkan projek boleh dibankkan yang sedang dilaksanakan melalui bantuan teknikal.

“Matlamat kami untuk memanfaatkan dana hijau tempatan dan antarabangsa yang mencatatkan rekod tertinggi tahun lepas dan dijangka terus menerima keyakinan pelabur sekiranya kita melaksanakannya dengan berkesan.”

Beliau berkata, Malaysia tidak akan berupaya memanfaatkan sepenuhnya potensi sebenar tenaga boleh baharu (TBB) tanpa mewujudkan pertukaran tenaga fizikal di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.