Kertas dasar kurangkan AP import dibentang tak lama lagi, kata Rafizi

Kertas dasar kurangkan AP import dibentang tak lama lagi, kata Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kertas dasar yang akan mengurangkan AP dan IP akan dibentang kepada MTEN tidak lama lagi.

Rafizi Ramli berkata langkah itu diharapkan dapat menurunkan harga barang khususnya import. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata suatu kertas dasar sedang dibangunkan bagi mengurangkan permit diluluskan (approved permit atau AP) dan permit import (import permit atau IP).

Kertas dasar itu akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara tidak lama lagi, katanya.

“Dengan mengurangkan atau mengehadkan AP dan IP, kerajaan berharap akan dapat menurunkan harga barang khususnya barang import.

“Ini akan secara langsung membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan meringankan kesan inflasi,” katanya pada sidang media mengenai penerbitan Indeks Harga Pengguna di Menara Prisma.

Dalam pada itu, Rafizi berkata terdapat ruang untuk memperbaiki peraturan anti-monopoli dan persaingan untuk memastikan pasaran lebih berdaya saing.

Katanya, dengan meningkatkan persaingan, harga barang dan perkhidmatan akan menjadi lebih berpatutan.

“Pengawalan inflasi dan peningkatan kuasa beli rakyat komponen kritikal ekonomi madani.

“Pendekatan ini akan dilaksanakan dalam cara yang inklusif, berkesan, dan berkekalan untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata kadar inflasi pada Julai mereda kepada 2.0% berbanding 2.4% pada Jun, dan ia kadar inflasi terendah dalam setahun.

Beliau berkata kadar inflasi negara mencatatkan penurunan sembilan bulan berturut-turut dan ini mencerminkan trend harga yang semakin stabil dan berterusan.

“Pengawalan kadar inflasi salah satu keutamaan kerajaan,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.