
Timbalan perdana menteri berkata, jika “memo dalaman” dihantar pasukan pendakwaan kes International Petroleum Investment Company (IPIC) membabitkan Najib Razak yang tersebar baru-baru ini asli, beliau yakin jabatan itu akan mengambil tindakan segera bagi menggugurkan pertuduhan berkenaan.
“Saya fikir apa yang harus dilakukan Jabatan Peguam Negara adalah kaji semula pertuduhan yang telah ‘dibalingkan’ kepada Najib
“Jika benar dari segi keaslian memo itu tentu saya yakin Jabatan Peguam Negara akan ambil tindakan segera bagi menggugurkan pertuduhan-pertuduhan yang dilakukan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Desa Madani (JDM).
Minggu lalu, media melaporkan Peguam Negara Idrus Harun berkata siasatan mengenai kebocoran dokumen itu sedang dijalankan namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kandungan dokumen berkenaan.
Dokumen itu didakwa memo dalaman pasukan pendakwaan IPIC kepada bekas peguam negara, Tommy Thomas pada September 2019.
Pada 2018, Najib dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah melibatkan dana kerajaan RM6.6 bilion, yang didakwa termasuk bayaran kepada IPIC.
Dalam pada itu, Zahid berkata rakyat khususnya kepimpinan dan ahli Umno menaruh keyakinan penganiayaan dikenakan pada Najib adalah atas arahan kerajaan dan pemimpin ketika itu.
Katanya, perkara itu harus dijadikan asas untuk memperlihatkan keadilan mesti diberikan keutamaan Jabatan Peguam Negara.
“Kami mempunyai keyakinan penuh pada kredibiliti dan kemampuan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti dan lakukan sesuatu yang lebih positif agar Najib benar-benar diberikan keadilan,” katanya.