Pengerusi Suhakam letak jawatan

Pengerusi Suhakam letak jawatan

Peletakan jawatan Rahmat Mohamad berkuat kuasa 31 Ogos ini.

Rahmat Mohamad akan meletak jawatan sebagai pengerusi Suhakam berkuat kuasa 31 Ogos. (Gambar Facebook Istana Negara)
PETALING JAYA:
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Rahmat Mohamad meletak jawatan berkuat kuasa 31 Ogos ini.

Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi kenyataan.

“Beliau yang dilantik sebagai pengerusi Suhakam bagi sesi 2022-2025 telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam gerak kerja Suhakam sebelum ini.

“Antaranya termasuk kejayaan sesi perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi tahun 2020 di Dewan Rakyat pada 12 hingga 14 Jun lalu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Rahmat kini pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia bagi sesi 2023-2025 melalui pelantikan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, Rabu lalu.

“Pelantikan ini adalah bertepatan dengan latar belakang beliau dalam bidang perundangan antarabangsa serta pengalamannya sebagai Setiausaha Agung ke-5 bagi Asian African Legal Consultative Organization.

“Dalam memastikan tatakelola Suhakam berjalan dengan lancar semasa sesi peralihan ini, kerajaan akan melantik pengerusi sementara dalam masa terdekat sehingga pengerusi baharu dilantik Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Rahmat memfailkan saman terhadap timbalan setiausaha suruhanjaya, Shahizad Sulaiman Mei lalu.

Ini susulan Shahizad memfailkan aduan dalaman rasmi pada 10 April terhadap Rahmat berhubung dakwaan diskriminasi kaum dan salah guna kuasa.

Susulan itu, pada 28 Jun, Rahmat mengisytiharkan beliau “tiada apa untuk disembunyikan” dan bersedia disiasat bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, beliau telah menarik balik saman fitnahnya terhadap Shahizad bagi menunjukkan kesediaannya berdepan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.