
Menteri Zahid Hamidi berkata ia sebahagian tindakan drastik yang disarankan KKDW dalam pembentangan agenda Ekonomi Madani kementerian itu, bulan lepas.
“Kita melakukan beberapa tindakan drastik dengan mengemukakan saranan kepada Kementerian Kewangan untuk anak-anak syarikat bawah agensi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pelbagai lagi agensi lain yang tidak memberikan sumbangan keuntungan agar ditutup dan kita lakukan ‘merger’,” katanya pada sidang media di bangunan Mara.
Dalam pada itu, Zahid berkata anak-anak syarikat bawah KKDW diberi sasaran supaya memberikan keuntungan, untuk membiayai aktiviti yang menterjemah objektif penubuhan agensi induk mereka.
“Kita lakukan supaya bebanan kewangan itu dapat dikurangkan,” katanya, dan berharap saranan itu akan memberikan perubahan “sangat ketara” tahun depan.