Jangan rayu keputusan mahkamah berkait Ivermectin, kerajaan digesa

Jangan rayu keputusan mahkamah berkait Ivermectin, kerajaan digesa

Perikatan Malaysia untuk Kawalan Covid Berkesan berkata, keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu membenarkan individu menyokong penggunaan Ivermectin terhadap Covid-19.

Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan seorang doktor berhak memberikan Ivermectin sebagai sebahagian rawatan kepada pesakit. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Sebuah NGO menggesa kerajaan tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan seorang doktor berhak memberikan Ivermectin sebagai sebahagian rawatan kepada pesakit.

Perikatan Malaysia untuk Kawalan Covid Berkesan (MAECC) berkata, keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rakyat menggunakan Ivermectin sebagai rawatan diri dan perlindungan terhadap Covid-19 pada kemuncak pandemik itu.

“Ribuan doktor, pengamal perubatan dan kumpulan pengguna menyokong penggunaan Ivermectin terhadap Covid-19 sebelum program vaksinasi dilaksanakan, dan individu dilabelkan anti-golongan berkuasa, kini boleh berasa lega.

“Kami dengan rendah hati memohon kerajaan dan Kementerian Kesihatan tidak membuat rayuan terhadap penghakiman itu kerana tiada pihak yang rugi. Semua rakyat Malaysia, termasuk kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan, adalah pemenang dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan.

MAECC berkata, ia menyokong penggunaan tambahan Ivermectin terhadap Covid-19 sejak awal 2020, tetapi mendapat kecaman “kumpulan profesional dan individu tertentu”.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Ivermectin sebagai ubat penting dan selamat, manakala garis panduan KKM untuk merawat kudis menyenaraikan ubat itu antara protokol rawatan.

Jumaat lalu, tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan pengamal perubatan berdaftar boleh memberikan Ivermectin kepada pesakit hanya untuk tujuan rawatan dengan mematuhi Seksyen 19 Akta Racun 1952 dan Peraturan-peraturan Racun 1952.

Keputusan itu dibuat bagi menjawab dua persoalan dikemukakan kepada mahkamah dalam rayuan Dr S Vijaendran, presiden Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (Maafim) serta Dr Che Amir Farid Che Isahak.

Persoalan itu termasuk sama ada, di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-peraturan Racun 1952, pengamal perubatan berdaftar berhak memberikan Ivermectin kepada pesakit.

Soalan lain sama ada pengamal perubatan berdaftar boleh memberikan Ivermectin kepada pesakit untuk tujuan rawatan dengan mematuhi akta dan peraturan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.