Tembak kereta selepas cinta ditolak

Tembak kereta selepas cinta ditolak

Polis berkata suspek ditahan dan direman empat hari untuk membantu siasatan.

Dua senapang patah dan senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada seorang lelaki yang menembak sebuah kenderaan di Julau, Sarawak. (Gambar Polis)
PETALING JAYA:
Polis Sarawak menahan seorang lelaki yang menembak sebuah pacuan empat roda dipercayai bagi membalas dendam selepas cinta ditolak salah seorang ahli keluarga pemilik kenderaan itu.

Ketua Polis Julau, Andam Sulin, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10.45 malam Khamis lalu mengenai kejadian sebuah kenderaan ditembak di bahagian pemandu, lapor Harian Metro.

Katanya, ketika kejadian mangsa memandu kenderaannya di Jalan Wak Buku Pakan untuk pulang ke rumahnya di Sungai Pinang.

“Berdasarkan maklumat, sepasukan anggota polis berjaya menahan suspek berusia 20 tahun.

“Siasatan awal mendapati motif suspek bertindak sedemikian kerana perasaan dendam selepas cintanya ditolak oleh salah seorang ahli keluarga mangsa,” katanya.

Andam berkata, susulan tangkapan itu polis merampas dua laras senapang patah buatan sendiri, dua laras senapang angin, sebutir peluru jenama Clever 12 Mirage dan satu kelongsong peluru jenama 12 Mirage daripada suspek.

Katanya, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.