Sedia dengan ‘serangan’ Azmin dan sekutunya, kerajaan Selangor diberitahu

Sedia dengan ‘serangan’ Azmin dan sekutunya, kerajaan Selangor diberitahu

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa pembentukan pasukan komunikasi berkesan untuk tangkis serangan politik yang sudah bermula di media sosial.

Adun pembangkang, Azmin Ali dan Dr Afif Bahardin dijangka mengetuai ‘serangan’ bertali arus terhadap kerajaan negeri, kata bekas Ahli Parlimen.
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor bakal berdepan “serangan” 22 Adun pembangkang Perikatan Nasional (PN) diketuai Azmin Ali, kata bekas Ahli Parlimen Charles Santiago.

Katanya, Azmin, Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin dan kumpulan pemimpin PAS dalam blok pembangkang akan meletakkan kerajaan perpaduan Selangor dalam situasi sukar.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri menubuhkan pasukan komunikasi berkesan dalam melawan serangan bertali arus PN.

Bekas Ahli Parlimen tiga penggal itu, berkata kerajaan perpaduan mesti melantik Speaker yang kompeten dan berkesan dalam DUN susulan jangkaan berlakunya perdebatan hangat.

Beliau berkata, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor mempunyai pengalaman luas kerana berkhidmat lima penggal sebagai Adun, dua kali di kerusi dimenanginya, Hulu Kelang dan tiga penggal di Bukit Antarabangsa. Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen Gombak.

“Selain itu, Azmin pernah berada dalam Jemaah Menteri sebelum ini,” katanya.

Santiago berkata, Afif juga boleh dianggap berpengalaman kerana pernah menjadi exco Pulau Pinang.

Daripada 22 wakil rakyat PN, PAS mempunyai 10 Adun diketuai Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi, yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, manakala Bersatu menguasai 12 kerusi.

“Bagi pihak kerajaan pula, selain Menteri Besar Amirudin Shari, seorang lagi pemimpin berpengalaman dari DAP Ng Sze Han yang menjadi exco bagi penggal kedua. Kebanyakan daripada mereka yang lain adalah orang muda dan kurang berpengalaman,” katanya kepada FMT.

Santiago berkata, pembangkang sudah mula membangkitkan isu kontroversi hanya beberapa hari selepas PRN berkait inisiatif kerajaan negeri, Insan, skim insuran untuk rakyatnya. Banyak lagi isu lain seperti itu akan dicetuskan untuk menidakkan keupayaan kerajaan perpaduan.

“Pertembungan antara kerajaan negeri dan PN akan berlaku terutama di TikTok. Itulah sebabnya kenapa pasukan komunikasi dan pakar sosial media mesti dibentuk.”

Katanya, PN berjaya menembusi Selangor kerana kelemahan PH dan kerajaan perpaduan perlu meraih semula sokongan orang Melayu dan India yang sudah mengalih sokongan kepada PN atau enggan mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.