
Beliau yang juga naib pengerusi Amanah berkata, sentimen penolakan dibangkitkan hanya propaganda untuk melagakan hubungan baik PH-BN.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu juga menafikan wujud gerakan cawangan Umno memboikot dirinya, selain enggan membantu jentera PH-BN berkempen.
“Tak benar (dakwaan diboikot akar umbi Umno Johor), jika (diboikot) bagaimana kami (PH-BN) dapat adakan program pertemuan bersama dengan jentera dan Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera BN di PDM Sungai Danga, Johor Bahru sambil dihadiri Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed.
Menurut laporan itu, Suhaizan turut bertemu jentera BN di PDM Pekaka Perling.
Semalam, tular kain rentang menolak Suhaizan sebagai calon kerajaan perpaduan oleh akar umbi Umno.
Kain rentang berkenaan tertulis “Kami cawangan-cawangan Umno Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan”.
Mengulas isu berkenaan, Suhaizan berkata beliau dimaklumkan kain rentang itu bukan dipasang ahli atau akar umbi Umno.
“Ini adalah propaganda serta tindakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan bukannya ahli Umno.
“Ada pihak lain yang cuba membuat provokasi tidak benar terhadap saya. Saya ingin memaklumkan bahawa yang menurunkan kain rentang itu adalah sahabat daripada Umno,” katanya.
Katanya, beliau juga akan meneruskan pertemuan dengan jentera PH-BN selepas ini.
“Selepas mengadakan pertemuan dengan jentera PH-BN, saya dapati wujudnya keterbukaan ahli Umno untuk menerima politik baharu yang dilaksanakan kepimpinan Umno dengan mewujudkan kerjasama kerajaan perpaduan PH-BN di peringkat pusat,” katanya.