
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa, berkata kapal itu ditahan di kedudukan 0.1 batu nautika dari timur laut Pulau Dayang Bunting 6 petang kelmarin.
“Ketika ditahan kapal itu membawa tiga kru berusia antara 31 dan 51 tahun dengan masing-masing seorang warga Thailand dan dua tempatan.
“Kapal persiaran itu dipercayai turut membawa sejumlah pelancong untuk melihat pemandangan matahari terbenam di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Romli berkata, kapal itu disyaki beroperasi secara haram selepas gagal mempamerkan lesen bot, tiada juragan dan sijil penumpang tamat tempoh.
Katanya, kapal itu dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut manakala semua kru turut ditahan untuk disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Romli juga meminta semua pengusaha kapal persiaran mematuhi segala aspek pelesenan, insurans dan keselamatan bagi menjaga keselamatan penumpang kapal.
“Pelancong juga perlu lebih peka untuk memilih pengusaha kapal persiaran yang berdaftar dengan Jabatan Laut untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.