
Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia, berkata mengekalkan gaji minimum RM1,500 dilihat “kejayaan” kepada syarikat besar yang berjaya memujuk kerajaan meneruskan “sistem pekerjaan eksploitatif”.
“Kenyataan menteri (sumber manusia) itu disifatkan seolah-olah bantuan sedang dilakukan untuk pekerja di negara ini dengan tidak menurunkan gaji minimum. Kenyataan itu dengan sendirinya menghina pekerja.
“Gaji minimum perlu ditetapkan pada tahap pendapatan yang sewajarnya. Sebarang jenis bonus atau gaji produktiviti hendaklah sebagai tambahan kepada gaji minimum,” kata Callistus Antony D’Angelus yang juga penasihat buruh antarabangsa kumpulan itu.
D’Angelus juga merujuk kajian Bank Negara Malaysia pada 2018 yang menyatakan pendapatan layak seorang dewasa bujang untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat ialah RM2,700 sebulan.
Semalam, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, berkata gaji minimum RM1,500 akan dikekalkan dalam sistem gaji progresif yang akan diperkenal tahun depan.
Katanya, sistem gaji progresif, yang dilihat paling relevan untuk diamalkan di Malaysia, perlu seiring dengan gaji minimum dan meningkatkan produktiviti pekerja sekali gus memberi keuntungan kepada majikan.
Sistem gaji progresif merupakan peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.
D’Angelus berkata, kerajaan sepatutnya berusaha memperkenalkan siling gaji bagi mengelak penyalahgunaan pampasan kepada eksekutif kanan syarikat dalam jumlah bentuk bonus yang besar.
“Kerajaan harus mempertimbangkan untuk mewujudkan nisbah antara pekerja bergaji paling rendah dan bergaji tertinggi dalam sesebuah organisasi,” katanya.
Katanya, ia bagi memastikan jurang kekayaan dan pendapatan yang merupakan antara faktor utama menyumbang krisis kos sara hidup yang teruk di negara ini.